PULAU PINANG, 9 Jun – Tindakan kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP meneruskan pilihan raya masjid dilihat sebagai satu sikap biadap dan kurang ajar kerana tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Ketua Agama Islam di Pulau Pinang.
Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, seharusnya pilihan raya masjid tidak boleh dilaksanakan tanpa perkenan Seri Paduka.
“Saya percaya, Seri Paduka Baginda belum memberi perkenan mengenai hal ini tetapi kerajaan negeri telahpun melaksanakannya.
“Pada 1 Jun yang lalu, notis mesyuarat agung telah diedarkan dan 7 Jun pula telah diadakan penamaan calon. Pada 11 Jun pula akan dipamerkan siapa yang layak untuk bertanding. Pada 18 hingga 24 Jun akan diadakan pemilihan. Perkara ini sudah berjalan tanpa perkenan Seri Paduka Baginda.
“Apa sebenarnya yang cuba ditunjukkan DAP. Tindakan mereka ini membelakangkan Seri Paduka dan ianya adalah tindakan yang luar biasa,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Apa yang dikesalkan beliau adalah sikap sesetengah orang Melayu di Pulau Pinang yang terpengaruh dengan paluan gendang sumbang oleh DAP yang berlindung di sebalik retorik demokrasi.
“DAP memang sedang mengalunkan paluan kompang yang sudah pastinya sumbang dan memaksa kita orang Melayu beragama Islam menari. Kita dah tau sumbang tetapi mengapa kita hendak ikut juga.
“Orang Melayu terutamanya di Pulau Pinang harus sedar bahawa DAP memang sedang ‘menyerang’ orang Melayu kerana apabila orang Melayu menjadi lemah, mereka akan lebih berkuasa dan kuat. DAP cuba walau apa cara sekalipun demi melihat orang Melayu berbecah belah,” katanya lagi.
Zainal berkata, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang akan mengadap Seri Paduka bagi merayu perkenan Baginda agar pilihan raya masjid ini ditangguh dan dikaji semula demi menjaga keharmonian institusi agama Islam.
Selain itu, Zainal selaku Ketua UMNO Bahagian Pulau Pinang mempersoalkan dua perkara sekiranya pilihan raya masjid ini tetap diteruskan iaitu siapa yang akan mengundi dan siapa yang menentukan calon.
“Dua perkara ini perlu diperjelaskan kerana setakat ini memang tiada daftar pemilih mengikut kariah. Jadi bagaimana kita hendak menentukan anak buah kariah?
“Mengikut kaedah-kaedah jawatankuasa kariah dan pegawai masjid negeri Pulau Pinang tahun 1997 bahagian III, kaedah 4, pegawai tadbir agama daerah hendaklah mengemukakan dan mengesyorkan kepada Yang di-Pertua nama-nama anak kariah dalam kariah sesuatu masjid itu yang pada pandangannya adalah layak dilantik untuk menjadi ahli jawatankuasa kariah.
“MAINPP (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang), jika ia berpuas hati, bolehlah melantik orang-orang yang disyorkan itu menjadi pengerusi dan ahli jawatankuasa kariah. Jika MAINPP tidak berpuas hati dengan nama-nama yang disyorkan, MAINPP bolehlah meminta dikemukakan nama-nama yang lain atau melantik mana-mana anak kariah bagi kariah masjid itu yang pada pandangannya adalah layak,” terang beliau mengenai enekmen yang diamalkan selama ini.
Oleh itu beliau berharap agar orang Melayu Pulau Pinang berfikir semasak-masakanya agar jangan ada pihak yang menjadikan umat Islam sebagai alat untuk merosakkan perpaduan sedia ada.
Katanya lagi, jawatankuasa masjid sedia ada selama ini walaupun berlainan fahaman politik, tetap boleh duduk bersama-sama atas semangat persaudaraan.
“Jadi, mengapa DAP begitu busuk hati mahu merosakkan perpaduan umat Islam. Saya ingin bertanya kepada kerajaan negeri, adakah mereka akan berbuat perkara yang sama terhadap pemilihan jawatan kuasa tokong, gereja dan kuil?
“Mengapa harus di masjid sahaja? Ini semua kerana mereka takut jika orang Melayu bersatu mereka tidak dapat berkuasa,” terangnya lagi. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment