Its saturday lets do some easy reading. This article was link to my fb, for all to read and ponder.
Secara jujur, ramai bersetuju bahawa perjuangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak termasuk dalam ciri-ciri perjuangan kebenaran. Kalau pun ada isu yang selari dengan Islam, itu adalah tuntutan yang bersifat fitrah. Menentang kezaliman, penindasan, penipuan, kekejaman dan sebagainya itu merupakan tuntutan fitrah manusia. Tidak ada manusia yang bersetuju dengan semua itu dan sangat ingin bebas daripadanya. Islam agama fitrah. Apa yang Islam setuju, fitrah manusia juga setuju.
Perjuangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah perjuangan orang Islam berlandaskan ideologi. Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah seorang Islam dan beliau dikenali dengan pegangan Islam yang liberal.
Kebelakangan ini ramai yang membela Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sedang berdepan kononnya dengan bermacam-macam tuduhan dan fitnah.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim dituduh, difitnah atau dianiaya bukan kerana mempertahankan satu atau sejumlah hukum Allah. Lebih-lebih lagi bukan kerana beliau telah berjaya mendidik dan mengasuh pengikutnya untuk sangat takut dan cintakan Allah sehingga sanggup hidup mati kerana Allah. Beliau juga bukan pemimpin yang berjaya mendisiplinkan aqidah, ibadah dan akhlak Islam kepada penyokongnya. Jauh sekali beliau memfokuskan Iman, Islam dan Ihsan dalam perjuangannya.
Persengketaan yang berlaku antara Dato’ Seri Anwar dengan musuh politiknya adalah dalam konteks politik kepartian. Pertelingkahan dalam politik kepartian kebiasaannya hanya untuk memperolehi atau mempertahankan pengaruh dan sokongan. Pengaruh dan sokongan adalah asas kekuatan demi matlamat mendapatkan kuasa. Permusuhan yang tercetus hanya kerana kepentingan politik masing-masing.
Persengketaan dan pertelingkahan dalam politik kepartian tiada kaitan dengan perjuangan kebenaran dalam ertikata yang sebenar di sisi Tuhan. Persengketan yang bukan kerana kepentingan Tuhan dan hak-hak Tuhan. Permusuhan yang bukan atas nama Tuhan dan dari Tuhan. Bukan juga kerana dan untuk Tuhan.
Menarik untuk difikirkan, juga sesuatu yang mengelirukan kerana terdapat di kalangan pendukung dan penyokong politik kepartian yang beragama Islam menggunakan hujah Al Quran dan Hadis.
Begitulah apa yang terjadi kepada Dato’ Seri Anwar. Beliau dimusuhi, difitnah dan dikonspirasi oleh musuh politiknya adalah atas dasar kepentingan dan permainan politik kepartian semata-mata. Hakikatnya kedua-dua pihak menggunakan apa jua kebolehan dan kemampuan demi kepentingan politik, bukan kepentingan Tuhan!
Justeru itu membela atau mempertahankan Dato’ Seri Anwar sama sekali tiada kaitannya dengan membela dan mempertahankan Islam dan kebenaran.
Mari kita perhalusi beberapa situasi sebagai bukti. Sekilas pandang, tiada bezanya antara pihak yang di dakwa menuduh atau memfitnah dengan pihak yang membela atau mempertahankan. Pendekatan dan budaya mereka sama saja. Caci-mencaci, maki hamun, kutuk mengutuk, hina menghina dan dengan tanpa rasa bersalah sewenang-wenangnya menggunakan kata-kata kesat termasuk mencarut jadi kebiasaan.
Sepanjang Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengharungi perjuangan politik dan isu peribadinya yang cukup kontroversi, beliau tidak pun menekankan soal memperbaiki diri dengan Tuhan. Penyokong beliau juga tidak disedar dan diajak agar bersungguh-sungguh menagih pembelaan dari Tuhan dengan cara bersungguh-sungguh bertaubat, mempertingkat dan memperhalusi ibadah dan akhlak.
Dato’ Seri Anwar dilihat lebih selesa bermain ayat-ayat politik. Pendekatan yang sinonim dengan beliau adalah menggerakkan sokongan khalayak untuk berdemontrasi atau melakukan protes terbuka. Tunjuk perasaan tersebut didorong oleh rasa tidak puashati, dendam, perasaan marah dan dipenuhi dengan budaya kutuk mengutuk, caci-mencaci, hina-menghina dan sebagainya. Kita semua bersetuju dan amat yakin bahawa budaya ini bukan daripada ajaran Islam yang sangat indah.
Beberapa tokoh bukan Islam samada dari parti politik terutamanya, maupun NGO dan juga barisan peguam terkenal nampak beriya-iya dan bersungguh-sungguh membela Dato' Seri Anwar. Tentulah mereka ini sangat yakin bahawa pembelaan tersebut bukan bermaksud membela Islam. Jika pembelaan terhadap Dato' Seri Anwar juga dianggap pembelaan langsung kepada agama Islam dan kebenaran Islam, menjadi kepercayaan ramai bahawa sudah tentu tiada pembelaan dari kelompok berkenaan.
Berbeza jauh dengan budaya orang-orang Tuhan dalam menghadapi ujian dan mehnah perjuangan. Rasulullah saw, para sahabat, Khalifah Ar Rasyidin dan para mujaddid menghadapi ujian dan mehnah dengan penuh berdisiplin. Mereka sangat mengawal hati, perasaan dan tingkah laku dalam menghadapi setiap cabaran termasuk yang Tuhan datangkan melalui musuh-musuh mereka.
Sejarah tokoh pejuang kebenaran seperti Imam Syafie, Imam Ahmad, Imam Al Ghazali dan Hassan Al Banna contohnya, dituduh dan difitnah kerana mereka sangat mempertahankan hak Allah dan agama Allah. Sebaliknya mereka pula sangat dapat mengawal diri dan pengikut masing-masing dalam menghadapi tuduhan dan fitnah secara sangat berakhlak dan berdisiplin. Natijah kepada setiap ujian yang dilalukan oleh Tuhan, rasa kehambaan dan rasa bertuhan pada peribadi mereka semakin terserlah.
Nawawi Dahalan
No comments:
Post a Comment